Wednesday, 26 September 2012

Kamera WiFi ---high tech


KEPADA    peminat yang baru berjinak-jinak dalam dunia fotografi kini berpeluang mengolah daya kreativiti mereka menerusi Kamera Sistem Kompak (CSC) terbaru Samsung yang diperkenalkan dalam rangkaian model NX. 

Kemunculan siri ketiga kamera CSC Samsung itu ditampilkan menerusi siri NX1000; selepas NX20 dan NX210 ditawarkan di pasaran sebelumnya. 



Bagi NX1000, dua ciri unik serta menarik yang berjaya diketengahkan Samsung adalah pengkhususan membangunkan produk untuk segmen pengguna baru.



Pada masa sama, ia memberikan tambah nilai apabila turut dilengkapi sistem sambungan WiFi yang cekap. 

Gambaran NX1000 dikhususkan untuk segmen pengguna baru dapat dilihat daripada bahan yang kurang berkualiti digunakan dan sedikit menyedihkan apabila kelasakannnya boleh dipersoalkan. 

Di sebalik faktor penampilan kurang menonjol, NX1000 memanfaatkan kehadirannya di pasaran sebagai satu-satunya kamera CSC di pasaran paling ringan pernah dibangunkan pada berat 0.217 kilogram. 

Sekiranya sasaran pelanggan bagi NX1000 tertumpu kepada segmen peminat dunia fotografi novis, sudah tentu ciri WiFi yang didatangkan mampu menjadi daya tarikan kepada pemilik laman rangkaian social untuk memilikinya. 
Ringan, cekap dan efisien sedikit sebanyak menggambarkan keperluan kamera Samsung NX1000 di kalangan pelanggan warga kota yang tidak memerlukan fungsi kamera canggih . 

Boleh disifatkan kamera era moden itu sesuai dipasarkan kepada pelanggan yang tergolong dalam komuniti laman rangkaian sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram. 



Muat turun iBH dalam iPad dan versi Android di: 

http://bit.ly/i-bh
http://bit.ly/android-bh

Harga saham lebih rendah


Kebanyakan saham di Bursa Malaysia mencatatkan paras penutupan yang lebih rendah hari ini seiringan kejatuhan dalam pasaran-pasaran serantau, ekoran kebimbangan tentang krisis hutang zon Euro serta keraguan bahawa inisiatif rangsangan oleh pembuat dasar seluruh dunia memadai untuk menjana pertumbuhan, kata peniaga. 


Bagaimanapun, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.72 mata kepada 1,619.30, didorong oleh pemulihan harga saham di kaunter-kaunter berwajaran tinggi terpilih. 

Peniaga berkata sentimen pelabur dalam pasaran-pasaran global juga lemah ekoran keyakinan perniagaan yang menurun di Jerman. 


Peniaga juga menjangkakan bajet yang akan dibentangkan Jumaat ini memberi kesan neutral ke atas pasaran, kerana kerajaan komited untuk mengekang defisit belanjawan. 



Indeks Kewangan turun 2.92 mata kepada 14,422.23 dan Indeks Perladangan jatuh 26.03 mata kepada 8,242.75, tetapi Indeks Perusahaan naik 2.42 mata kepada 2,791.13. 


Indeks FBM Emas susut 7.68 mata kepada 10,987.73, Indeks FBM Mid 70 jatuh 62.261 mata kepada 11,787.81, dan Indeks FBM Ace menambah 11.77 mata kepada 4,278.42. 


Saham rugi mengatasi saham untung dengan jumlah 374 berbanding 283 manakala 342 kaunter tidak berubah, 641 tidak diniagakan dan 32 yang lain digantung urus niaga. 
Jumlah dagangan mengecil kepada 889.356 juta saham bernilai RM1.448 bilion daripada 989.375 juta saham bernilai RM1.471 bilion semalam. 



Bagi saham cergas, Ingenuity Solutions menokok setengah sen kepada 10 sen, Ingenuity Solutions-Wa 2011/16 menambah sesen kepada 6.5 sen dan Scomi Group turun setengah sen kepada 37.5 sen manakala IJM Corporation jatuh 22 sen kepada RM4.53. 


Antara saham berwajaran tinggi, Maybank turun lima sen kepada RM8.95, Sime Darby naik tiga sen kepada RM9.79, CIMB Group meningkat dua sen kepada RM7.38 dan Axiata Group mengukuh empat sen kepada RM6.34. 


Jumlah dagangan dalam pasaran utama susut kepada 631.222 juta saham bernilai RM1.412 bilion daripada 721.288 juta saham bernilai RM1.435 bilion semalam. 


Pasaran ACE menyaksikan penyusutan jumlah dagangan kepada 204.693 juta saham bernilai RM32.238 juta daripada 210.369 juta saham bernilai RM30.837 juta sebelumnya. 


Waran susut jumlahnya kepada 45.587 juta unit bernilai RM3.224 juta daripada 
52.490 juta unit bernilai RM4.7 juta. 



Barangan pengguna menguasai 54.5 juta saham yang diniagakan dalam Pasaran Utama, barangan perusahaan 79 juta, pembinaan 55 juta, perdagangan dan perkhidmatan 297.2 juta, teknologi 21.3 juta, prasarana 17 juta, kewangan 41.3 juta, hotel 1.1 juta, harta 41.3 juta, perladangan 15.3 juta, perlombongan 17,700, REIT 7.6 juta dan dana tertutup 120,000.